Assalamu'alaikum, para pembaca.
Bila cerita tentang sifat mahmudah, akan tergambar dalam fikiran kita sifat-sifat yang mulia. Contoh: Sabar, redha, bersangka baik, qana'ah(berpada-pada), jujur, tabah, ikhlas, amanah, pemurah, rajin, syukur, zuhud dan banyak lagi. Bila cerita tentang sifat mazmumah pula, tergambar sifat marah, buruk sangka, boros, pura-pura, bohong, khianat, kikir, malas, kufur, dan sebagainya.
Jika kita renung dalam-dalam, keamanan, ketenangan, kebahagiaan yang kita kecapi dalam hidup ini boleh dikatakan kebanyakannya berpunca dari sifat mahmudah. Mana tidaknya, dengan adanya sifat pemurah, perut si fakir teralas, pakaiannya bertukar, senyuman terukir di bibir. Dengan adanya sifat sabar dan redha pula, musibah sebesar gunung pun menjadi sekecil batu di dalam akuarium. Dengan adanya sifat jujur dan ikhlas, lambaian tangan disambut, hati berhawa dingin, perkara susah menjadi senang, yang serabut dapat diuraikan. Dengan sifat qana'ah, pondok usang pun menjadi istana.
Sebaliknya, kekacauan, kecelaruan, kemusnahan dan kezaliman yang menapak dalam hidup kebanyakannya berpunca dari sifat mazmumah pula. Buktinya, hidup yang celaru dan huru-hara berpunca dari buruk sangka kepada Tuhan atas ujian yang menimpa. Tali persaudaraan yang terputus dan bersepah di jalanan berpunca dari merahnya mata dan panasnya hati diselubungi sifat marah. Manusia pula menjadi syaitan kerana dendam kesumat yang belum terbalas. Fikiran waras menjadi gila kerana tiadanya sabar dan redha dalam jiwa.
Begitulah besarnya impak sifat mahmudah dan mazmumah dalam kehidupan kita. Orang yang menghiasi dirinya dengan sifat-sifat mahmudah hatinya sebening subuh hari, wajahnya berseri-seri walau hidung tak mancung pipi tersorong-sorong, namun mata tetap sedap memandangnya. Hidup tenang tanpa gundah gulana. Berbeza pula jika sebaliknya. Jadi, pilihan di tangan kita. Mahmudah atau mazmumah? Contoh ikutan sudah jelas di bayangan minda. Dialah Nabi Muhammad SAW, insan teragung berakhlak mulia, tuturnya penuh hikmah, geraknya tersusun indah, dialah bulan purnama di kelamnya malam.
Itadakimasu...
2 years ago