Total Pageviews

Wednesday, September 22, 2010

Sunnahmu, ikutanku....



Dahulu, di waktu kecilku, ibu dan ayah mengajarku agar melakukan setiap pekerjaan menggunakan tangan kanan kecuali dalam perkara-perkara tertentu sahaja yang dibenarkan menggunakan kanan kiri.

Makan dengan tangan kanan, minum dengan tangan kanan, memberi dengan tangan kanan, mengambil dengan tangan kanan, menulis dengan tangan kanan, bersalaman dengan tangan kanan, pendek kata semuanya dengan tangan kanan. Bila ditanya mengapa? Kerana tangan kiri digunakan untuk membersihkan najis. Mungkin itulah jawapan yang paling mudah untuk difahami oleh kanak-kanak sepertiku satu masa dahulu. Kini, aku telah meningkat dewasa. Barulah aku tahu bahawa aku disuruh menggunakan tangan kanan bukan kerana hanya satu sebab sahaja tetapi yang terutama ia adalah sunnah baginda Rasulullah SAW. Malangnya, semakin meningkat dewasa, aku semakin mencuaikan sunnah baginda. Terkadang, aku memberi dan mengambil dengan tangan kiri. Minum dengan tangan kiri. Sudahlah menulis dengan tangan kiri kerana kidal, kerja lain pun nak dilakukan dengan tangan kiri.

Bukan setakat itu sahaja, terkadang aku makan dan minum sambil berdiri. Tak cukup berdiri, berjalan pula. Sedangkan baginda Rasulullah SAW mengajar umatnya agar duduk ketika makan dan minum.

Baginda SAW juga menganjurkan umatnya agar makan mengikut keperluan sahaja, tidak berlebih-lebihan sehingga terlalu kenyang lantas malas dan tidak khusyu' melaksanakan ibadah.

Bila difikirkan, patutkah aku berbangga mengaku diri sebagai umat Nabi Muhammmad SAW sedangkan dalam soal menggunakan tangan kanan dan makan pun aku tidak lulus. Makan dan minum dengan tangan kiri, memberi dan mengambil dengan tangan kiri, makan dan minum sambil berdiri, berjalan, sehingga terlalu kenyang..bukankah ini budaya orang kafir? Jika perbuatanku menjurus kepada budaya orang kafir, zahirnya aku ini umat yang mana?

Belum lagi disentuh bab ibadah, masa, silaturrahim..6 jam untuk facebook, 6 jam untuk cerekarama, 6 jam untuk jalan-jalan cari makan, 5 jam 35 minit untuk lagu jiwa lagu cinta, 25 minit untuk solat fardhu. Mujurlah Allah mewajibkan solat 5 waktu sehari semalam, kalau 1 waktu? Bermakna, 5 minit diperuntukkan bagi ibadah..itupun tak sampai. Mungkin saja 4 minit atau 3 minit....

Sesungguhnya, dalam sunnah itu ada rahsia dan hikmahnya yang tersirat. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui apa rahsianya kita disuruh menggunakan tangan kanan, apa rahsianya kita disuruh duduk ketika makan dan minum sebagaimana hikmah pengharaman khinzir dapat kita lihat hari ini dengan munculnya H1N1 dan pelbagai penyakit berbahaya lain.

Teringat aku sabda baginda SAW mengenai hal umatnya yang akan datang selepas zaman baginda:

لتتبعن سنن من قبلكم شبرا بشير، و ذراع بذراع، حتى لو دخلوا حجر ضب لدخلتموه! قالوا: اليهود و النصارى يا رسول الله؟ قال: فمن؟

Mafhumnya: “Kamu akan mengikuti jejak langkah kaum sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingggakan jikalau mereka masuk ke dalam lubang biawak pun, nescaya kamu juga akan memasukinya!” Mereka berkata: “Adakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan wahai Rasulullah?” Baginda bersabda: “Siapa lagi kalau bukan mereka?”

Aku tidak mahu mengikut jejak langkah kaum yang derhaka dan dimurkai Tuhan..oleh itu, aku berharap moga Allah memimpinku agar terus berada di jalan yang lurus hingga sampai hari penentuan. Hanya jalan yang ditempuh bagindalah jalan yang selamat. Lantaran itu, SUNNAHMU, IKUTANKU.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails