Total Pageviews

Friday, October 15, 2010

MAJLIS PENGHARGAAN DAN KECEMERLANGAN MAHASISWA/WI KALI KE-3, 2010

Malam semalam, 14 Oktober 2010 merupakan satu malam yang buat pertama kalinya aku tidak dapat mengenal pasti rasa hatiku dalam satu majlis yang sangat meriah bagi semua graduan dan pelajar cemerlang. Walaupun aku salah seorang daripada pelajar-pelajar cemerlang itu, entahlah..tak tahu bagaimana nak gambarkan perasaan ni. Gembira bukan..rasa hambar..sayu pun ada..ya, sayu! Perasaan sayulah yang telah menutup suasana riang malam semalam. Zahirnya, memang aku tersenyum di hadapan semua orang, namun hakikatnya aku sayu. Inilah yang dikatakan senyum dalam sendu, ketawa dalam tangisan.

            Emak abah yang jauh di mata dan tak dapat bersamaku dalam majlis bersejarah itu yang membuatkan hatiku sayu..namun,inilah lumrahnya merantau untuk menimba ilmu. Terpaksa meninggalkan orang tersayang untuk ilmu Tuhan. Aku dah lama tanam hasrat untuk bersama-sama ibu bapaku dalam majlis-majlis besar seumpama itu. Aku mahu mereka bangga melihat anak mereka naik ke atas pentas mengambil hadiah penghargaan dan aku mahu mereka merasakan bahawa usaha mereka mendidik dan membesarkan aku selama ini tidak sia-sia dan terbalas walaupun hakikatnya ia tidak akan mampu membalas segala pengorbanan mereka selama ini. Moga saat itu akan menjelma, amin. Mudah-mudahan menjelmanya bukan sekali, tetapi berkali-kali hingga ibu bapaku lenguh tersenyum.

Selain itu, seorang teman yang kusanjung tinggi yang mana bakal meninggalkan aku berjuang seorang diri di bumi Mesir inilah yang membuatkan hatiku sayu. Malam semalam, dia sentiasa berada di hadapan mataku, tapi aku tak sanggup melihatnya kerana aku takut jika makin kulihat makin sebak perasaanku. Aku tahu, zahirnya memang aku sendirian di sini tanpa keberadaannya nanti tapi semangat dan nasihatnya sentiasa mengiringi dalam setiap langkah perjuanganku di sini. Jadi, aku tidak perlu khuatir lagi. Ya Allah, kuatkan jiwaku yang bakal kehilangan seorang teman di sisi buat sementara waktu..amin.

Tempat pertama pertandingan terjemah maqalah. Terima kasih aku ucapkan kepada Syira, Ustaz Danial dan mereka yang terlibat dalam penilaian terjemahanku. Jika boleh ku tahu, dari sudut manakah aku terpilih untuk berada di tempat pertama? Kerana aku pasti ada kesalahan-kesalahan tertentu yang kulakukan dalam terjemahan itu. Aku tidak yakin untuk menterjemahkan syair Bahasa Arab dalam maqalah itu. Terjemahan syair itu aku tulis selepas berkali-kali mencari maksud sebenarnya. Namun, aku sendiri tidak pasti apakah itu maksud sebenar syair itu kerana aku banyak menggunakan andaian sahaja. Bukan sahaja pada syair, pada ayat-ayat tertentu yang lainnya juga. Kesimpulan yang dapat aku buat, tempat pertama di pandangan manusia, tidaklah sama di pandangan Tuhan. Bila namaku diumumkan sebagai pemenang tempat pertama pertandingan menterjemah maqalah, hadirin yang hadir pada malam semalam mungkin menganggap aku bagus dan hebat, namun hakikatnya aku rasakan banyak lompong-lompong kesilapan dalam terjemahanku. Ya, aku teratas di antara mereka yang bertanding namun aku rasa aku tiada nombor di pandangan Tuhan kerana Dia Maha Sempurna. Aku banyak kekurangan dan kelemahan. Belum lagi jika nak disentuh tentang isi maqalah itu. Menceritakan tentang budaya-budaya orang Islam yang hakiki. Aku hanya mampu menterjemahkan tulisan, tetapi isi tulisan itu tidak semua lagi yang dapat kuamalkan.

Oleh sebab itu, ku katakan: “Kejayaan hakiki itu bukan terletak pada tulisan, tetapi pada amalan.”

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails