Total Pageviews

Monday, October 25, 2010

Komentar buat guru

Assalamu’alaikum.

Tidak dinafikan guru merupakan insan yang mulia kedudukannya dalam masyarakat malah guru merupakan insan yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan kerana menyampaikan ilmu Tuhan kepada insan yang jahil. Mengajar manusia mengenal Tuhan, mengenal Rasul, mengenal agama, mengenal segalanya berkaitan dunia mahupun akhirat. Melalui perantaraan guru, manusia pandai menulis, melukis, mewarna, mengeja, mengira sehingga dapat mempelajari dari sekecil-kecil perkara hingga sebesar-besar perkara. Apatah lagi jika ilmu yang disampaikan oleh seseorang guru itu disertai dengan rasa ikhlas hati untuk menghilangkan kejahilan yang ada dalam diri anak muridnya. Tentulah ilmu yang diajar dapat meresap masuk ke dalam dada anak muridnya dengan mudah sekali. Jika ia lambat meresap masuk kerana sebab-sebab tertentu seperti lemah iq, guru itu tidak akan berputus asa mengajarnya sehingga dia benar-benar yakin anak muridnya itu dapat memahami apa yang disampaikannya.

Malangnya,
kedapatan dalam kalangan guru hari ini yang membezakan-bezakan antara anak muridnya. Anak murid yang cerdik pandai diberi lebih perhatian berbanding anak murid yang lemah dalam pelajaran. Jika diperhatikan, sesi pengajaran dan pembelajaran sentiasa berjalan di kelas-kelas teratas sesebuah sekolah berbanding kelas-kelas bawahan yang sentiasa bising tidak berguru. Mengapa guru jarang sekali memasuki kelas-kelas sebegini untuk menyampaikan ilmu? Apakah membuang waktu mengajar anak murid yang lemah dalam pelajaran? Sudah diajar berkali-kali, masih melakukan kesilapan. Tidak faham-faham lagi. Masuk kelas atau tidak sama sahaja. Lantas, anak murid dibiarkan terkontang-kanting dalam kelas, tanggungjawab diabaikan. Namun, hanya mereka yang berhati mulia sahaja yang mampu istiqamah mengajar insan-insan sebegini. Insan yang lemah dalam pelajaran dan perlakuan. Niatnya hanya satu. Mengajar dan menyampaikan ilmu Tuhan seikhlas hati tanpa membeza-bezakan anak didiknya. Maka, besarlah ganjaran buat guru yang ikhlas.

Bagaimana pula dengan senario guru menghadapi anak murid yang hiper active? Anak murid yang mengelongsor dengan selamba dari depan hingga ke belakang kelas ketika keberadaan guru? Hanya guru yang tabah sahaja yang mampu menghadapi mereka. Guru yang punyai strategi pengajaran yang tersendiri ditambah dengan sifat sabar dan tabah. Akhirnya, merekalah yang akan berjaya. Guru yang tidak sabar? Anak murid merekalah yang akan menang. Jika kita perhatikan, anak murid yang lasak ini sangat cemerlang dalam pelajaran. Alangkah baiknya jika ada guru yang sabar dan tabah untuk memandu tindak tanduknya agar dia menjadi insan yang cemerlang dalam pelajaran dan akhlak. 

Kesimpulannya, kerjaya guru bukanlah satu kerjaya yang mudah. Mereka yang ingin berkecimpung dalam kerjaya ini perlulah mendidik diri mereka terlebih dahulu sebelum mendidik orang lain. Guru mestilah punya ilmu dan akhlak yang tinggi. Bukan sahaja tinggi malah betul agar dia menjadi contoh ikutan yang betul buat anak didiknya. Keikhlasan bertapak di dada. Ditambah strategi-strategi mengajar yang diperoleh dari sunnah Rasulullah SAW. Rujukan itu perlu kerana kita orang baru. Rujukan bukan satu, oleh itu, rujuklah buku, rujuklah guru.                                                                


2 comments:

Hafizi Tajuddin said...

eh, kenapa tiba-tiba nak cerita tentang guru> ada peristiwa apa-apa ke?

Nooraffida Md Kamal said...

Saja2..spya pembaca lebih fokus..x gtu?

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails