Total Pageviews

Wednesday, May 12, 2010

KHALIFAH ZUHUD, UMAR BIN ABDUL AZIZ


Assalamu'alaikum..
Kali ini saya berminat untuk kongsikan dengan pembaca sekalian tentang peribadi zuhud seorang khalifah yang agung suatu masa dahulu iaitu Umar Bin Abdul Aziz.

Beliau adalah Umar Bin Abdul Aziz Bin Marwan Bin al-Hakam Bin Abu al-'As Bin Umayyah Bin Abd Syams Bin Abdul Manaf al-Qurasyi al-Umawiy. Ibunya ialah Ummu 'Asim Laila Binti 'Asim Bin Umar Bin al-Khattab RA yang digelar sebagai Abu Hafs.

Sesungguhnya Khalifah Umar Bin Abdul Aziz tidak pernah membina untuk dirinya mana-mana jua bangunan kerana katanya:
" Di antara Sunnah Rasulullah SAW ialah ketika baginda wafat, tidak ada satu pun bangunan yang dibina untuk diri baginda."

Diriwayatkan pula daripada Malik Bin Dinar, katanya:
"Orang ramai mengatakan Malik Bin Dinar seorang zuhud. Sesungguhnya orang yang sebenar-benarnya zuhud ialah Khalifah Umar Bin Abdul Aziz kerana suatu ketika beliau telah memiliki dunia tetapi pada saat yang sama sanggup meninggalkannya."

Suatu hari Umar datang menemui isterinya dan berkata:
"Wahai Fatimah! Adakah engkau mempunyai duit dirham untuk membeli anggur?" Jawabnya: "Tidak." Tanyanya lagi: "Apakah engkau mempunyai sebarang mata wang lain yang boleh digunakan untuk membeli anggur?" Tiba-tiba Fatimah datang menghampiri Umar dan berkata berkatanya: "Engkau seorang Amirul Mukminin. Apakah munasabah orang seperti engkau tidak mempunyai apa-apa untuk membeli anggur?" Jawab Umar: "Keadaan ini lebih memudahkan kita untuk melepaskan diri daripada segala jenis belenggu yang terdapat di dalam Neraka Jahannam."

Diriwayatkan daripada Yunus Bin Abu Syaib katanya:
"Suatu ketika, aku telah melihat Umar Bin Abdul Aziz tawaf di Baitullah. Pada masa itu, sebahagian kainnya telah tenggelam di dalam lipatan kulit perutnya kerana kegemukannya. Kemudian, aku menemuinya lagi. Tetapi di saat itu beliau cukup kurus disebabkan jawatan khalifah yang disandangnya. Ketika ini,kalau aku mahu untuk membilang jumlah tulang rusuknya dengan tanpa menyentuhnya nescaya aku akan melakukannya."

Diriwayatkan daripada Maslamah Bin Abdul Malik katanya:
"Aku telah datang menziarahi Khalifah Umar Bin Abdul Aziz pada hari kematiannya. Pada saat itu aku lihat Fatimah Binti Abdul Malik, isterinya, duduk di bahagian kepalanya. Setelah melihat kedatanganku beliau berpindah duduk di bahagian kaki Umar dan aku mengambil tempatnya. Aku lihat Umar telah dikafankan dengan sepasang baju yang telah lusuh dan terkoyak poketnya. Lalu aku katakan kepada Fatimah: "Sebaik-baiknya baju ini ditukarkan." Fatimah hanya terdiam. Aku terus mengulangi kata-kataku tadi sehingga suaraku menjadi tinggi. Akhirnya Fatimah menjawab: "Demi Allah, hanya itulah sahaja bajunya."

Suatu hari, Abu 'Ubaidah Bin 'Uqbah al-Qurasyi telah datang menemui isteri Umar, Fatimah Binti Abdul Malik dengan bertanya kepadanya:
"Bolehkah engkau ceritakan kepadaku sesuatu yang menakjubkan tentang Umar?" Kata Fatimah: "Apa yang kutahu, Umar tidak pernah mandi kerana bersetubuh atau bermimpi walaupun sekali semenjak dilantik menjadi khalifah sehinggalah beliau wafat."

Itulah dia sifat zuhud yang dimiliki Umar Bin Abdul Aziz. Tiada satu pun bangunan yang dibina untuk dirinya sedangkan manusia zaman sekarang rumahnya berbilang-bilang, ada yang dihuni, ada yang tidak. Jadi, mana manfaatnya? Makanannya pula penuh semeja, jika habis, malas beribadat, jika tidak, disedekahkan pada tong sampah. Mencari harta hingga hujung dunia sebolehnya. Mengenyangkan perut sendiri lantas rakyat kebuluran menjamah kulit ayam yang digoreng sahaja. Wanita keliling pinggang, segala nafsu beraja di nubari. Halal haram tiada bezanya. Arak umpama air kosong, riba' berganda-ganda. Tangan pula sudah lali dengan rasuah. Hidup gelap dalam terang nikmat. Zikrul maut? Jauh sekali....

Berminat juga saya untuk membawa pembaca melihat sifat belas kasihannya terhadap binatang.

Sesungguhnya Umar Bin Abdul Aziz memiliki seorang khadam yang bertugas menguruskan perkhidmatan baghal miliknya. Setiap hari khadam tersebut akan memberikan kepada beliau sebanyak satu dirham, wang hasil daripada perkhidmatan baghal tersebut. Tiba-tiba suatu hari, khadam tersebut telah memberikan kepada Umar satu setengah dirham iaitu melebihi pendapatan pada hari-hari kebiasaan. Lalu Umar bertanya:
"Mengapakah pula hari ini pendapatannya lebih?" Jawab khadamnya: "Aku berniaga di pasar pada hari ini." Balas Umar: "Engkau pembohong. Sebenarnya engkau telah memaksa baghalku bekerja melebihi hari-hari biasa. Oleh itu, rehatkannya selama tiga hari."

Peringatan daripada Kubur

Abu Farwah meriwayatkan: "Suatu hari, Umar Bin Abdul Aziz telah pergi menguruskan jenazah beberapa orang yang mati daripada kalangan Bani Umayyah. Setelah selesai disembahyangkan dan dikebumikan, orang ramai yang turut hadir ke kubur berkata: "Mari kita semua berangkat pulang."

Di saat itu juga Umar telah menghilangkan diri di celah-celah orang ramai menyebabkan mereka semua menanti-nanti kemunculannya dan mengesyaki bahawa sesuatu telah berlaku kepada Umar. Tidak lama kemudian, Umar pun muncul dengan kedua-dua matanya merah dan urat-urat tengkuknya nampak timbul kesan daripada tangisannya. Mereka bertanya: "Wahai Amirul Mukminin! Ke manakah tuan menghilang tadi kerana kami semua menanti kemunculan tuan?"

Jawab Umar: "Sebentar tadi aku telah cuba meninjau-ninjau kubur-kubur keluarga ayahku yang sangat aku kasihi. Aku memberi salam kepada mereka tetapi mereka tidak menjawabnya."

"Bila aku pergi lebih dekat lagi, tiba-tiba tanah menyeru kepadaku dengan katanya: "Wahai Umar! Mengapa tuan tidak bertanya aku tentang nasib keluarga tersayang tuan? Lalu kataku: "Ya, bagaimanakah keadaan mereka sekarang?" Jawab tanah: "Kain kapan dan tubuh mereka telah lama hancur dimakan ulat."

"Kemudian aku melangkah lagi untuk menyiasat dari manakah datangnya suara tersebut, tiba-tiba tanah bersuara lagi memanggilku: "Wahai Umar! Mengapakah tuan tidak menanyakan diriku tentang keadaan kedua-dua mata mereka pula?" Jawabku: "Ya, bagaimanakah keadaannya?" Jawab tanah: "Kedua-dua biji mata termasuk mata putih, juga telah hancur kerana dimakan ulat."

"Bila aku cuba mrnyiasat lagi, sebagaimana sebelumnya, tanah pun menyapaku: "Wahai Umar! Mengapakah pula tuan tidak terus menyoalku tentang proses bagaimanakah hancurnya tubuh badan seseorang?" Kata Umar: "Ya, bagaimanakah prosesnya?" Jawab tanah: "Mula-mulanya, kedua-dua tapak tangan akan tertanggal daripada pergelangan tangannya. Kemudian, kedua-dua pergelangan tangan akan tertanggal daripada lengannya. Selepas itu, kedua-dua lengan akan tercerai daripada sikunya. Kedua-dua tulang kipas akan tercabut daripada lambungnya. Kedua-dua lambungnya akan tertanggal daripada tulang sulbinya. Tulang sulbi pula akan terpisah daripada kedua-dua tulang punggungnya. Kedua-dua tulang punggung akan tercabut daripada tulang pehanya. Kedua-dua tulang peha akan bercerai daripada kedua-dua lututnya. Kedua-dua lututnya akan bercerai daripada betisnya dan akhir sekali, kedua-dua betisnya akan bercerai daripada kedua-dua kakinya.

"Bila aku bergerak lagi, tanah terus memanggilku lagi dengan katanya: "Wahai Umar! Bersedialah engkau dengan kain-kain kapan yang tidak akan lusuh." Tanyaku: "Apakah kain kapan tersebut?" Jawab tanah: "Ketakwaan kepada Allah dan beramal semata-mata kerana mentaati-Nya."

Cerita ini telah diriwayatkan berulang-ulang kali oleh ramai perawi hadith yang menjadikannya suatu riwayat yang kuat. Terdapat juga penambahan di dalam riwayat yang lainnya yang berbunyi:

"Kemudian Umar pun menangis dan berkata: "Sesungguhnya dunia ini hanyalah tempat tinggal sementara. Kemuliaan di dunia merupakan kehinaan di akhirat. Kekayaan di dunia adalah kemiskinan di akhirat. Usia muda di dunia sebenarnya usia tua berbanding akhirat. Hidup di dunia hakikatnya mati berbanding akhirat. Justeru itu, janganlah kalian tertipu dan tergoda ketika melayari bahtera kehidupan di dunia, sedangkan kalian mengetahui bahawa ianya hanyalah kehidupan sementara sahaja. Orang yang tertipu ialah mereka yang terpedaya dengannya. Ke manakah perginya generasi lampau yang telah membina bangunan-bangunan di permukaan bumi? Membina saliran-salirannya? Yang menumbuhkan pokok-pokoknya? Mereka hidup di dunia ini hanya sementara sahaja."

"Mereka ditipu oleh kesihatan tubuh badan mereka. Mereka merasa megah dengan sumbangan kemajuan yang mereka bengunkan sehingga mereka tergamak melakukan maksiat kepada Allah SWT. Demi Allah! Sesungguhnya semasa hidup di dunia, mereka sentiasa dicemburui dan didengki dengan sebab banyaknya harta yang berjaya dikumpul dan dimiliki oleh mereka. Sedangkan untuk menghimpunkan harta-harta tersebut, sangat banyak halangan yang perlu mereka tempuhi."

"Tidakkah mereka terfikir apakah tindakan tanah terhadap tubuh badan mereka, tindakan debu pasir terhadap jasad-jasad mereka, tindakan ribuan ulat terhadap tulang-tulang dan sendi-sendi mereka. Mereka sebenarnya, semasa hidup di dunia sentiasa berhibur di atas katil-katil yang siap tersedia, tempat tidur yang tilamnya empuk dengan dilayan pula oleh khadam yang ramai. Mereka semakin lalai kerana masyarakat menghormati mereka dan jiran tetangga membantu dan menyokong mereka.

"Tetapi, apabila kalian semua melalui kawasan perkuburan mereka yang telah mati, cubalah seru dan panggil nama mereka jika kalian ingin lakukan. Cuba kalian lihat, betapa rapatnya kedudukan kubur-kubur yang mereka huni di saat ini. Tanyakan sesiapa yang kaya dari kalangan mereka, siapa yang masih kekal dengan kekayaan mereka? Tanayakan pula sesiapa yang miskin dari kalangan mereka, apa yang masih ada di sebalik kemiskinan mereka?"

"Tanyakan mereka yang sudah mati ini, bagaimanakah sekarang keadaan lidah-lidah yang biasa mereka gunakan untuk bercakap? Bagaimanakah keadaan mata-mata mereka yang biasa digunakan untuk melihat? Keadaan kulit yang sebelum ini lembut? Keadaan muka yangs sebelum ini cantik? Dan tubuh yang sebelum ini gemuk? Apakah yang telah dilakukan oleh ribuan ulat terhadap semua anggota ini?"

"Bukankah warna kulit mereka telah hilang? Daging-daging tubuh mereka telah dimamah oleh ribuan ulat? Muka-muka mereka berlumuran darah? Kecantikan-kecantikan yang dimiliki oleh tubuh badan mereka telah menjadi jijik? Sendi-sendi tulang belakang mereka telah patah? Anggota-anggota badan mereka telah terkoyak dan hancur? Lantaran itu, di manakah rumah-rumah yang tersergam indah dan bumbung-imbung mewah yang pernah mereka huni? Ke manakah perginya khadam-khadam dan hamba sahaya mereka? Penyokong-penyokong dan timbunan harta yang mereka simpan? Demi Allah! Semuanya itu tidak dapat menyediakan untuk mereka walaupun hanya sekadar tilam untuk tidur dan hamparan untuk berehat. Jauh sekali menanam untuk mereka pokok-pokok yang menghasilkan buah atau menyediakan tempat tinggal di dalam liang lahad."

"Bukankah mereka sekarang berada pada suatu tempat yang sunyi dan padang luas yang tidak berpenghuni? Bukankah siang dan malam bagi mereka sama sahaja? Bukankah mereka berada dalam kegelapan yang sangat dahsyat?"

"Sesungguhnya mereka tidak lagi berpeluang untuk kembali beribadat dan terpaksa berpisah dengan orang tersayang. Alangkah ramainya orang yang pernah mengecapi kemewahan hidup sebelum ini, baik lelaki mahupun perempuan, muka-muka mereka telah menjadi hancur luluh, tubuh badan mereka termasuk tengkuk-tengkuk dan anggota-anggota utamanya telah terkoyak, robek dan berkecai. Mata hitam jatuh terkulai di atas pipi. Mulut-mulut mereka dipenuhi darah dan nanah. Segala jenis ulat dan serangga melata dan merayap di atas tubuh mereka dengan merobek dan menghancurkan seluruh anggota badan mereka."

"Demi Allah! Semuanya ini membuatkan mereka merasakan bahawa segala kenikmatan, kemewahan dan kesukaan yang mereka kecapi selama hidup di dunia ini hanya sekejap sahaja. Di saat tulang-tulang mereka telah hancur berkecai, segala kebun-kebun tanaman dan segala kehidupan yang serba mewah yang pernah dikecapi sebelum ini kini mereka telah tinggalkan. Isteri-isteri tersayang pula dikahwini orang. Anak-anak merayau-rayau tak tentu hala di jalanan. Rumah tempat tinggal dan segala harta pusaka telah dibahagi-bahagikan."

"Demi Allah! Ada juga di antara mereka yang merasa selesa dan mendapat kenikmatan semasa berada di alam kubur. Mereka ini ialah orang yang tidak terpesona dengan mata benda dunia."

Melalui cebisan kisah hidup Khalifah Umar Bin Abdul Aziz ini, banyak iktibar dan pengajaran yang dapat diambil. Tidak perlulah untuk saya sebutkan lagi kerana intinya telah dapat kita rasai di hati. Tepuklah dada, tanyalah iman!

1 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails