Total Pageviews

Monday, May 10, 2010

EMAK



Ibuku bernama Pairus binti Zakaria. Aku memanggilnya dengan panggilan emak. Asal namanya bermula dengan huruf F iaitu Fairus tetapi atas kesilapan teknikal sewaktu proses mengeluarkan surat beranaknya, namanya bertukar menjadi Pairus, bermula dengan huruf P. Tidak mengapalah, anggap sajalah makna namanya tidak berubah iaitu batu permata. Ibuku seorang yang peramah berbeza dengan ayahku seorang yang pendiam. Antara sifat-sifatnya yang dapat kulihat, beliau seorang ibu yang penyayang, sabar, kuat dan tabah, pandai berdikari, ceria dan banyak lagi….

Aku dilahirkan oleh ibuku di sebuah rumah kampung di Kampung Serting Tengah, Batu Kikir, Negeri Sembilan. Anak jati kampung. Kata ibuku, nak merasa lahirkan anak di kampung pula kerana sudah merasa lahirkan anak di hospital sewaktu melahirkan abangku dahulu. Maka, lahirlah aku di rumah kampung itu. Tetapi akhirnya, ibu dan ayahku terpaksa ke hulur ke hilir membawaku ke hospital-hospital kerana aku menghidap sakit kuning yang teruk selepas dilahirkan. Nak buat macam mana kan mak, mak nak merasa lahirkan anak di kampung, tapi kakak nak juga merasa duduk di hospital, hehe. Ibuku pernah menceritakan, aku terpaksa diletakkan di bawah cahaya lampu di hospital kerana sakit itu. Ibuku tidak sampai hati melihat aku diletakkan di bawah cahaya lampu sendirian. Beliau kasihan dan risau. Jadi, beliau pun duduk menemani di sampingku. Sampai bengkak-bengkak kakinya menemaniku kerana terlalu lama duduk. Diceritakan lagi, apabila ibuku menutup mataku dengan kain sedikit untuk mengelakkan sakitnya mata apabila terkena cahaya, aku menepis kain itu untuk melihat cahaya. Kecil-kecil lagi sudah degil! Alhamdulillah, dengan izin Allah dan berkat usaha ibu bapaku untuk menyembuhkan sakitku, aku pun sembuh. Terima kasih ya Allah! Terima kasih emak abah!

Kadang-kadang aku perasan bahawa aku dan ibuku berbeza watak. Pendiam vs Peramah. Aku seperti ayahku, pendiam sikit. Tapi tidaklah pendiam sangat berbanding waktu aku kecil-kecil dahulu. Waktu aku kecil-kecil dahulu, ibuku marah juga kalau aku senyap tak bersuara jika aku perlu bersuara dalam sesuatu perkara itu. Katanya, “Ada mulut, cakap..jangan senyap je. Awak ada mulut, bukannya takde mulut.” Ingat lagi kata-kata mak. Tapi sekarang, kakak dah pandai cakap dah. Tak sesenyap dulu. Disebabkan ibuku peramah, kadang-kadang beliau terover juga bercakap. Apabila begitu, ada juga aku menegur ibuku. Selepas ditegur, ibuku senyum dan tergelak. Malu-malu sedikit! Kadang-kadang aku rasa ada antara teguran-teguranku yang agak kasar. Bila jadi begitu, aku serba salah pula. Rasa nak minta maaf tapi cukup susah! Tak terkeluar dari mulut. Akhirnya aku minta maaf dalam hati saja. Macam tu pula. Aku perasan dari riak wajah ibuku bahawa beliau juga rasa teguranku itu agak kasar, tetapi beliau tetap tersenyum. Emak, kakak minta maaf atas keterlanjuran kata dan perbuatan kakak terhadap mak selama kakak hidup di muka bumi ini.

Waktuku kecil dulu, aku kuat menangis. Tidak tahu mengapa. Sampai satu masa, ibuku sudah tidak tahan lagi. Maka, hinggaplah rotan di kakiku. Boleh tahan juga sakitnya. Selepas dipukul, aku masuk ke dalam bilik menangis. Apabila aku dengar ibuku melangkah datang ke bilik, aku buat-buat tidur. Ibuku datang mendekatiku dan melihat kesan-kesan pukulannya di kakiku. Biru juga kakiku waktu itu. Lama-kelamaan, aku pun terlelap benar. Apabila bangun saja dari tidur, ibuku memanggilku untuk makan kuih gulung yang dibuatnya. Sambil makan, ibuku menyapu ubat di kakiku. Sayang juga ibuku padaku. Ibuku berkata, “Lain kali jangan nangis lagi ye..kakak asyik nangis je, macam mana mak tak geram.” Sekarang aku faham kenapa ibuku bertindak sedemikian. Sebab dah tak tahan lagi mendengar tangisan aku tiap-tiap hari. Ibu mana yang boleh tahan? Tengah-tengah sibuk memasak dan menguruskan rumah, anaknya pula buat hal. Apatah lagi ibuku berusia muda ketika itu. Darah panas! Aku dah banyak susahkan ibuku itu. Astaghfirullah..maaf mak!

Ibuku seorang yang berbakat. Pandai memasak..sampaikan seseorang yang tidak makan sesuatu jenis makanan boleh jadi makan dan suka makanan itu pabila dia merasa masakan ibuku. Lazat! Ibuku juga pandai menjahit. Semasa kecilku, ibuku mengambil tempahan menjahit baju orang tetapi kini sudah tidak boleh lagi disebabkan adikku yang bongsu lasak sekali. Ibuku juga pandai mengait. Alas-alas meja semuanya ibuku kait sendiri. Ayahku beruntung dapat ibuku yang punyai pakej yang lengkap!

Ibu dan ayahku bukanlah dari kalangan agamawan. Tetapi, mereka tetap memberikan didikan agama pada kami adik-beradik sejak dari kecil lagi. Mereka hantar kami mengaji al-Quran, mengajar kami cara-cara solat, doa-doa, menghantar kami ke tadika Islam dan banyak lagi. Ibuku sendiri tidak tahu membaca al-Quran. Tetapi anak-anaknya, kesemuanya pandai membaca al-Quran. Kerana apa? Kerana beliau dan ayahku berusaha untuk menghantar kami adik-beradik belajar mengaji. Kalau tak kerana usaha mereka, mungkin kami hingga kini tidak tahu mengaji. Terima kasih, ya Allah! Terima kasih, mak abah! Apabila ibuku melihat aku mengajar adik-adikku mengaji, beliau berkata kepadaku, “Lepas ni,bolehlah kakak ajar mak ngaji pula!” Insya-Allah, mak! Kakak akan ajar mak mengaji suatu hari nanti sampailah emak pandai membaca al-Quran sendiri. Kakak akan pastikan itu! Insya-Allah! Perkenankanlah hasratku dan ibuku, ya Allah!

Ingat lagi, apabila ibuku mendapat tahu bahawa adik lelakiku dimasukkan ke hospital kerana kecederaan yang dialaminya sewaktu praktis ragbi di sekolahnya dahulu, betapa risaunya beliau ketika itu. Sudah berair matanya kulihat. Apabila ibuku terlalu risau begitu, ayahku marah sedikit pada ibuku: “Janganlah risau sangat, takde apa-apa tu.” Walaupun hakikatnya hati ayahku pun risau juga. Terserlah kerisauan itu pada wajahnya. Namun, sebagai ketua keluarga, ayahku mesti banyak bertenang jika terjadi apa-apa supaya dapat membuat keputusan dengan baik sekali. Apabila melihat ayahku marah sedikit pada ibuku, aku pun menyampuk, “Biasalah bah, hati mak memanglah macam tu.” Macamlah aku pernah jadi mak..hehe..cuma nak tenangkan keadaan. Seorang ibu mestilah cepat risau jika berlaku sesuatu kepada anak-anaknya kerana beliau yang mengandungkan anak-anaknya selama 9 bulan 10 hari. Bukan suatu jangka masa yang pendek! Jika anaknya sakit, beliau juga akan terasa sakitnya. Hanya Allah saja yang Maha Tahu betapa kuatnya kasih sayang, perasaan, rasa hati seorang ibu terhadap anak-anaknya.

Itulah di antara sifat-sifat yang dimiliki oleh ibuku. Jasa-jasanya tidak dapat untukku balas sampai bila-bila. Subhanallah! Senantiasalah kita beringat bahawa redha Allah terletak pada redha ibu bapa kita. Jika ibu bapa tidak redha dengan kita, maka tiadalah juga redha Allah buat kita. Walau bagaimanapun keadaan ibu bapa kita, samada baik, buruk, sihat, sakit, muda, tua, bertanggungjawab atau tidak, mereka wajib kita hormati dan hargai. Taatilah mereka selagi tidak bertentangan dengan syariat Allah. Jika hendak menegur, tegurlah dengan berhikmah dan gunakanlah perkataan yang baik. Jangan sesekali mengguris hati dan perasaan mereka dengan kekasaran kata-kata dan perbuatan kita terhadap mereka. Jagalah mereka dengan sebaik mungkin sebagaimana mereka menjaga kita sebaik mungkin di waktu kita kecil dari sekecil tapak tangan sehingga kita sebesar gajah sekarang..dari kita serendah pokok bonzai sehingga kita setinggi galah sekarang.

Buat emak, kakak mohon ampun dari hujung rambut sampai hujung kaki atas segala salah silap kakak pada mak selama kakak hidup di atas muka bumi ini. Ketahuilah bahawa kakak amat menyayangi mak. Andai kata kakak pergi dulu, doakan kesejahteraan kakak di sana. Doa dari mak abah amat kakak harapkan dan sangat berharga buat kakak. Begitu juga kata-kata nasihat yang mak abah berikan pada kakak selama ini, amat bernilai sekali buat seorang anak untuk bangun dan terus bangun berjuang dari kelemahan semangat, kekecewaan, putus harapan, kelekaan, kalalaian dan sebagainya yang terjadi dalam hidup ini. Ampunkan segala kesalahan kakak, mak! Andai kata kakak tak sempat nak ajar mak mengaji sampai mak pandai membaca al-Quran sendiri, kakak minta maaf banyak-banyak..moga abang dan adik-adik yang lain dapat menggantikan tempat kakak untuk mengajar mak. Sesungguhnya ajal itu tidak mengenal usia. Kalau kakak pergi nanti, kakak minta mak gantikan air mata mak dengan doa. Begitu juga dengan abah. Doa dari emak abah itu yang penting buat kakak. Emak pernah kata pada kakak dahulu, kalau boleh carilah pasangan dari kalangan orang agama seperti kakak juga. Mungkin emak berkata begitu kerana keluarga kita kurang orang agama untuk memimpin kita. Tetapi, kalau kakak sudah pergi dulu, kakak harap abang dan adik-adik yang lain itulah yang dapat memimpin keluarga kita. Kita semua kena tingkatkan ilmu agama di dada supaya kita dapat tingkatkan iman dan amal kita supaya nanti kita selamat dunia dan akhirat. Kita tak boleh tunggu orang mengubah kita sebab diri kita sendiri adalah amanah Allah buat kita. Kita sendiri yang perlu mengubahnya. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah nasib mereka sendiri. Lagi pula, tak semua orang yang sudi untuk mengubah dan memimpin kita. Akhir kata, terima kasih buat mak dan abah atas segala-galanya. Terima kasih yang tidak terhingga kepada-Mu, Tuhan! Kerana mengurniakanku ibu bapa yang sangat menyayangi, mengambil berat dan bertanggungjawab terhadap diriku. Kurniakan kami semua syurga Firdaus-Mu, ya Allah! Bersama kekasih-Mu, Muhammad SAW. Kakak sayang emak abah dunia akhirat! -KAKAK-

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails