Total Pageviews

Monday, May 10, 2010

ABAH


Ayahku bernama Md Kamal Bin Ismail. Aku memanggilnya dengan panggilan abah. Orangnya genius, berdiri atas kaki sendiri, penyayang tapi tegas, berdisiplin, berjiwa kuat dan banyak lagi yang tidak dapat untukku senaraikan di sini. Kuat merajuk pun ye..hehe. Jangan marah abah. Kuat merajuk menandakan seseorang itu lembut hatinya sebenarnya walaupun tampak tegas.

Ayahku ini banyak berdiri atas kaki sendiri dari kecil hinggalah dewasa sebab waktu beliau kecil ibunya sakit terkena buatan orang, jadi beliau banyak berdikari sendiri dalam hidupnya. Lagi pula, ayahnya iaitu atukku terpaksa menceraikan uwanku itu atas permintaan ayah mentuanya kerana uwanku sakit terkena buatan orang. Atuk sayang dengan uwan, tapi apakan daya..atuk akur jua dengan permintaan ayah mentuanya. Mungkin moyangku itu ada sebabnya yang tertentu. Berbalik pada cerita ayahku, maka hiduplah ayahku dengan dunianya yang tersendiri dengan kurang mendapat belaian kasih sayang daripada ibu dan ayahnya. Mungkin sebab itulah ayahku kuat merajuk kerana perasaannya halus.

Kemudian, di usia remaja, ayahku tinggal pula dengan ibu saudaranya dan memilih tentera sebagai kerjaya. Ayahku seorang yang gigih berusaha. Dari seorang prebet beliau akhirnya menjadi seorang pegawai, Pegawai Waran II dalam Rejimen Artileri Diraja. Masihku ingat lagi, dahulu ayahku bakal dinaikkan pangkat lagi, asalkan ayahku tunjukkan muka sahaja dalam satu majlis di kemnya, maka dia dikira menerima pangkat itu. Tetapi ayahku tidak hadirkan diri kerana dia tidak mahu menerima pangkat itu. Sebab apa? Sebab kenangkan isteri dan anak-anaknya. Apa isteri dan anak-anaknya nak makan kalau duit banyak dikeluarkan untuk urusan pakaian pangkat itu jika beliau menerimanya. Ayahku pantang melihat isteri dan anak-anaknya susah kerana dirinya. Dirinya susah untuk kami tidak mengapa.

Ayahku tegas. Ingat lagi, waktu aku kecil dahulu, anak-anaknya yang ada ketika itu cuma abangku, aku dan adik lelakiku. Kami selalu juga bergaduh, al-maklum, budak-budaklah katakan. Jika ayahku ada di rumah sewaktu kami bergaduh, memang kenalah kami selepas itu. Tidak kira siapa yang mula dahulu, semuanya kena habuannya. Seorang buat, semua kena. Nak tahu apa habuan tu? Pelempang laju lagi padu. Rasa berganda-ganda pipi bila dah kena pelempang tu. Tebal. Sebelum ayahku bagi pelempang tu pada kami, kami disuruh beratur terlebih dahulu. Ala-ala askar. Selepas itu, barulah kami semua ditempeleng. Buat kami macam askar pula, tapi menarik! Selepas berlakunya peristiwa ‘iqab itu, kalau ada di antara kami yang nak mula bergaduh, yang tak terlibat ingatkan supaya jangan bergaduh, nanti kita semua yang kena. Akan tetapi, selepas ayahku memberi habuan kami masing-masing itu, beliau pujuk balik. Kalau tak pujuk, kami pula yang merajuk..hehe.

Ayahku sanggup berkorban demi isteri dan anak-anaknya. Antara pengorbanan ayahku, beliau sanggup mengandar berguni buah durian atas bahunya dari dusunnya yang terletak jauh di dalam hutan sehingga ke luar hutan untuk isteri dan anak-anaknya yang suka sekali makan buah durian. Kasihan abah, calar-calar belakang badan abah aku tengok. Bukannya ringan nak kandar buah durian tu, berat sekali! Bukan setakat berat saja, tapi berduri-duri..macam mana tak calar. Sekarang, ayahku pesara tentera dan bekerja sebagai pemandu lori ais pula. Hantar ais ke gerai-gerai makan, sekolah-sekolah, termasuklah ke sekolahku dahulu, Maahad Ahmadi. Tentu sakit bahu abah kandar berplastik-plastik besar ais tiap-tiap hari. Aku tengok sendiri depan mata aku macam mana ayahku bersusah payah bekerja untuk sara keluarga. Kalau aku derhaka pada ayahku dan tak menghargai pengorbanannya terhadapku sekeluarga, sia-sia saja aku hidup! Abah, terima kasih! Pengorbanan abah tidak dapat kakak balas kerana terlalu besar dan banyak.

Ayahku berdisiplin. Emakku cukup senang. Tidak payah kejutkan ayahku dari tidur pada waktu pagi sebab ayahku kunci jam dan bangun sendiri. Berdisiplin dan cukup berkeyakinan!

Ayahku berbakat dan berkebolehan. Ayahku pandai menyanyi. Boleh tahan juga suaranya. Diam-diam berisi. Ayahku juga pandai bertukang. Ingat lagi, dahulu, ayahku buatkan meja belajar untuk aku dan anak-anak lelakinya. Selain itu, ayahku buatkan almari baju untuk ibuku dan dirinya sendiri. Tak perlu beli siap dari kedai sebab mahal..kalau buat sendiri, murah..lawa pun lawa. Dengan adanya meja belajar tu, dapatlah aku adik-beradik belajar dengan baik dan selesa sekali! Terima kasih abah! Terima kasih Tuhan!

Banyak pengorbanan abah..waktu aku perlu buat pelbagai urusan untuk menyambung pelajaranku di bumi Mesir ini, ayahku banyak membantu. Ayah menolongku untuk buat salinan surat beranak di Jabatan Pendaftaran Negara di Seremban, menemaniku mengambil borang permohonan zakat dan pinjaman MAINS di Seremban dan banyak lagi. Untuk buat semua urusan tu, aku naik motor tua dengan ayahku dari Bahau, naik bas pun ada. Serba salah rasanya bila tengok ayahku terpaksa naik bas untuk menolongku buat urusan. Sewaktu majlis makan tengahari bersama Menteri Besar Negeri Sembilan untuk aku dan kawan-kawan yang bakal berangkat ke Mesir dahulu, kami diminta hadir bersama ibu bapa sekali. Ayahku cuma ada motor Honda tua yang banyak berjasa. Macam mana nak angkut aku dan ibuku untuk pergi ke majlis itu? Bersusah payahlah ayahku cari kereta untuk pinjam sebentar. Akhirnya, sepupu ayahku yang bekerja di Kuala Pilah meminjamkan keretanya dari situ. Naiklah kami anak beranak bas dari Bahau ke Kuala Pilah untuk mengambil kereta itu di tempat kerja mak cikku itu. Kemudian, barulah kami bertolak pergi ke majlis tersebut di Seremban. Serba salah sungguh bila tengok mak abah naik bas kerana aku! Maafkan kakak, mak abah.

Sebenarnya banyak lagi pengorbanan ayahku pada kami sekeluarga..terima kasih abah! Terima kasih ya Allah kerana mengurniakan aku seorang ayah yang sangat bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap kami. Tempatkanlah ibu bapaku di syurga-MU yang tertinggi, syurga Firdaus, ya Allah! Kepada sesiapa yang mengenali ayahku, kupinta dari kalian bertegur sapalah dengannya sebagai wakilku, agar gembira hatinya. Hati ayah tentu akan gembira apabila seorang anak bertanya akan khabarnya. Kalian hargailah ibu bapa kalian kerana jasa dan pengorbanan mereka sangat besar dan banyak terhadap kalian. Kalau ibu bapa kalian tidak bertanggungjawab pun terhadap kalian, mereka tetap ibu bapa kalian. Kalian dari benih mereka. Kalian boleh doakan mereka agar Allah bukakan hati mereka untuk jadi lebih bertanggungjawab, menyayangi dan mengambil berat terhadap kalian. Jangan sesekali jadi anak derhaka kerana neraka tempat kita nanti sekiranya menderhaka. Na’uzubillah..walau bagaimanapun mereka, hormati dan hargailah mereka…. Abah, terima kasih atas segala-galanya..jasa dan pengorbanan abah tak dapat kakak balas kerana terlalu banyak dan besar. Kakak akan belajar bersungguh-sungguh, insya-Allah! Doakan kakak istiqamah dalam melakukan kebaikan. Ampunkan segala dosa dan salah silap kakak terhadap abah dari kakak dilahirkan sehingga ke hari ini. Cuma satu yang kakak pinta, sama-samalah kita jadikan keluarga kita keluarga Rabbani iaitu keluarga yang mendirikan dan menunaikan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Kakak sayang abah emak dunia akhirat! -KAKAK-

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails