Total Pageviews

Monday, July 26, 2010

Fikir Sejenak!


SITUASI PERTAMA

"Ndek..pegi panggil abah makan deh!" Suruh uwanku kepada kucing peliharaannya yang bernama Pendek ketika makanan sudah siap dihidang untuk disantap. Lantas Pendek pun pergi ke ruang tamu mendekati atukku yang sedang menonton televisyen. Dia pun mengiau-ngiau sambil berlegar-legar di kaki atukku.
"Eh, dia fahamla tuk!" Aku kagum melihat Pendek yang boleh memahami tutur kata uwanku.
"Hahahaha..paham deh, apo lak tak paham eh." Lebih kurang begitulah jawapan balas atukku kepadaku suatu masa dahulu.
Betapa taatnya seekor kucing kepada tuannya. Bila difikirkan, pohon-pohon dan haiwan-haiwan tidak pernah mengingkari suruhan Tuhan, sentiasa taat kepada-Nya. Berzikir senantiasa kepada-Nya sejak dahulu hingga sekarang. Tidak pernah alpa. Sedangkan manusia..taatnya, ibadahnya, akhlaknya makin hari, makin terhakis. Haiwan punya nafsu semata. Manusia punya nafsu dan akal sama. Namun, mengapa terleka?

SITUASI KEDUA
Sesi pembelajaran tamat. Aku pun pulang ke asrama. Naik ke atas katil lalu berbaring sambil menutup mukaku sedikit dengan lengan untuk mengelak dari dikecam menangis. Saat itu, aku dilanda konflik dengan teman seperjuangan. Aku tidak dapat menahan perasaan lalu menangis sajalah caranya untuk aku meredakan perasaan. Kebetulan, waktu aku sedang menangis, tiba-tiba datang seekor kucing naik ke atas badanku. Kucing itu memang selalu keluar masuk dormku. Sangat jinak dan manja. Si kucing menghadap mukaku yang basah dengan air mata. Aku pun mengadu kepadanya dalam hati. Sekurang-kurangnya aku boleh menenangkan sedikit perasaanku dengan berbuat begitu. Lalu, setitis air mata mengalir ke pipi lantas dengan pantasnya tangan si kucing menangkap air mata yang mengalir tanpa mengeluarkan sedikit pun kukunya yang boleh menyakitiku. Air mataku dikesatnya. Si kucing seolah-olah cuba memujukku. Janganlah bersedih hati! Subhanallah! Saat itu dapat kurasakan bahawa Tuhan tidak membiarkan hamba-hamba-Nya sendirian. Dia bersama kita di waktu senang apatah lagi ketika susah!

SITUASI KETIGA

Atukku sedang nyenyak tidur di dalam bilik. Tiba-tiba, datang seekor ular menjalar di atas lantai mahu menaiki katil. Induk Pendek, seekor kucing yang sangat garang mengiau-ngiau memberi amaran kepada atukku yang sedang lena di atas katil. Makin lama, suaranya makin kuat kedengaran. Melihat atukku yang tidak sedar akan amarannya itu, dia lantas bergelut dengan si ular. Akhirnya, induk Pendek yang garang pun menang dalam pergelutan itu. Seekor kucing yang sanggup bergadai nyawa demi keselamatan tuannya yang hanya memelihara, memberi makan dan secebis kasih sayang buatnya. Bukan melahirkan, bukan memberi makan dan pakai yang diingini, bukan juga memberi selaut kasih sayang dan memelihara diri bagai menatang minyak yang penuh, bukan..bukan..dan bukan. Dengan hanya sedikit nikmat yang diperolehinya, nyawa sanggup digadai. Berbeza manusia masa sekarang, ibu yang mengandungkan 9 bulan 10 hari, bertarung nyawa melahirkan, akhirnya ditendang, disepak, diterajang, malah dibunuh. Cukuplah satu contoh. Tak tertanggung rasa hati menyatakan kekejaman pelbagai rupa.

SITUASI KEEMPAT

Aku berjalan masuk ke Rumah Negeri Sembilan Kaherah(RNSK). Belum pun sempat aku memasuki pagar rumah, tiba-tiba aku ternampak seekor anak kucing dan induknya sedang bermain nyorok-nyorok di kaki lima rumah. Si anak mengiau-ngiau mencari induknya. Si induk pula menyorok di bawah kereta. Si anak tercari-cari. Pabila induknya tidak berjaya dikesan, dia berpatah balik ke belakang sambil mengiau-ngiau. Si induk kemudiannya keluar dari bawah kereta, mengintai anaknya senyap-senyap yang kelihatan tercari-cari. Akhirnya, mereka bertemu. Tak terlintas di mindaku sebelum ini, spesis haiwan pun boleh main nyorok-nyorok. Subhanallah! Tapi malangnya, manusia sekarang tidak main nyorok-nyorok lagi dengan anak, tapi main buang-buang. Tidak sayang anak sebagaimana haiwan menyayangi anak mereka. Dunia dirasakan kini sudah terbalik. Kalau dalam "Pi Mai Pi Mai Tang Tu" Ravi selalu mengungkap ayat "Sudah tukar ka?" Sekarang saya jawab, "Ya,memang sudah tukar!"

Dari pengalaman-pengalaman saya yang telah disebutkan tadi, anda nilailah sendiri..siapa yang mulia? Si kucing atau manusia? Binatang yang bersifat manusia atau manusia yang bersifat binatang? Saya tidak berniat untuk mengulas lebih panjang lagi, cukuplah sepatah dua kata ini untuk kita fikir sejenak!

Firman Allah SWT yang mafhumnya:

“Dan tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang melihat, dan tidaklah(pula sama) orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal soleh dengan orang-orang yang derhaka. Sedikit sekali kamu mengambil pelajaran. Sesungguhnya hari kiamat pasti akan datang, tidak ada keraguan tentangnya, akan tetapi kebanyakan manusia tiada beriman.” Surah Ghaafir: Ayat 58-59.

“Allah-lah yang menjadikan bumi bagi kamu tempat menetap dan langit sebagai atap, dan membentuk kamu lalu membaguskan rupamu serta memberi kamu rezeki dengan sebahagian yang baik-baik. Yang demikian itu adalah Allah(sebagai) Rabb kamu, Maha Agung Allah, Rabb semesta alam. Dialah Yang hidup kekal, tiada ilah(yang berhak disembah) melainkan Dia; maka berdoalah kepada Allah dengan mengikhlaskan/memurnikan ketaatan kepada-Nya. Segala puji bagi Allah, Rabb semesta alam.” Surah Ghaafir: Ayat 64-65.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails