Total Pageviews

Thursday, May 5, 2011

Jiran oh Jiran!

Bismillahirrahmanirrahim..
Hari ini saya berminat untuk mengulas serba sedikit tentang JIRAN. Sejak saya kecil hingga remaja sekarang, telinga ini tidak lekang dari mendengar masalah kejiranan. Dalam tempoh 24 tahun hidup ini, saya dan keluarga telah bermastautin di beberapa buah tempat. Di mana saja kami menetap, pasti tidak lepas dari masalah kejiranan.

Umpat mengumpat sesama jiran, pura-pura, mengadu domba, masam muka, pergaduhan, khianat mengkhianati, sihir menyihir dan banyak lagi sudah menjadi sinonim apabila kita bicarakan tentang jiran. Masya-Allah! Sungguh semua ini telah menyimpang dari apa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka dia hendaklah berkata yang baik atau diam, dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka dia hendaklah memuliakan jiran tetangga dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka dia hendaklah memuliakan tetamunya."
-Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim.

Apakah yang dimaksudkan dengan "..maka dia hendaklah memuliakan jiran tetangga.." seperti mana yang disebutkan dalam mafhum hadis di atas? Maksudnya ialah dengan berbuat baik, tidak menyakiti dan tidak melakukan kejahatan terhadap mereka. Dapatlah difahami di sini bahawa kita ditegah dari menyakiti jiran tetangga dalam apa jua bentuk samada melalui perkataan apatah lagi perbuatan.

Berbuat baik dan memuliakan jiran adalah suatu perkara yang dituntut syarak dan sangat dititikberatkan dalam Islam. Lihat sahajalah mafhum hadis Nabi SAW ini: "Malaikat Jibril a.s sentiasa berwasiat kepadaku tentang tetangga sehingga aku menyangka bahawa dia (Jibril) akan menjadikan jiran sebagai waris seseorang." -Hadis riwayat Imam Bukhari

Mengapa Islam sangat menitikberatkan soal jiran tetangga ini saudara sekalian? Sehinggakan kita dituntut untuk menolongnya ketika dia berhajat, bertolak ansur dengannya dan kita juga dituntut untuk menghulurkan hadiah kepadanya ketika ada sempena atau majlis. Mengapa kita tidak dibenarkan menjaga hal masing-masing sahaja? Kan senang..kita dengan hal kita, dia dengan hal dia. Takkan ada sakit hati jika tersalah bicara, takkan ada pergaduhan dan perselisihan faham.

Jawapannya..bukankah Islam itu agama yang memberi rahmat kepada seluruh alam. Dengan Islam, semua makhluk dipelihara hak dan kehormatannya. Harta, tumbuh-tumbuhan, haiwan, manusia, baik yang beragama Islam ataupun tidak, semuanya dipelihara hak dan kehormatannya oleh Islam selama mana tidak merobek maruah Islam. Lantaran itu, Islam menitikberatkan isu jiran tetangga agar hak, kehormatan dan kemaslahatan manusia dapat dijaga. Susah kan menjadi senang. Duka kan bertukar suka. Berat kan ringan jua akhirnya jika Islam dapat dihayati dalam hidup dengan sebaiknya.

Apabila kita menikmati sarapan berupa corn flakes + susu, hot chocolate + mihun/ mee goreng/ kueh teow/ nasi lemak, sosej + telur + kekacang, pernahkah kita terfikir apakah yang dimakan oleh jiran-jiran kita? Entah biskut kering, biskut balak atau habuk biskut saja. Silap-silap sky juice(air kosong) saja sebagai santapan pagi. Makan tengahari? Makan malam? Entah-entah seminggu tetangga kita terpaksa mengikat perut lantaran masalah kewangan. Persoalannya, adakah kita ambil tahu dan ambil peduli? Oleh sebab itu, Islam menuntut kita mengambil berat perihal jiran dengan cara yang betul kerana rezeki atau apa saja yang kita miliki hakikatnya bukan milik kita. Ia milik Allah untuk kita kongsi bersama.

Al-Hakim meriwayatkan daripada Rasulullah SAW yang mafhumnya:
"Tidak beriman kepadaku orang yang bermalam dalam kekenyangan sedangkan jiran tetangganya kelaparan dan dia mengetahuinya."
Di dalam Sahih Muslim, daripada Abu Zar r.a bahawa Rasulullah SAW telah berpesan kepadaku:
"Jika engkau memasak daging atau seumpamanya yang berkuah, banyakkanlah kuahnya, kemudian perhatikan keluarga tetanggamu dan berikanlah sebahagiannya kepada mereka dengan baik." Maksudnya: Berikan kepada mereka sebahagian daripada masakan itu.

Sungguh ganjaran berbuat baik terhadap jiran sangatlah besar..Imam Ahmad dan al-Hakim telah meriwayatkan satu hadis daripada Abu Hurairah r.a katanya:
"Ditanya: "Wahai Rasulullah! Si fulanah itu selalu solat malam dan berpuasa di siang hari, cuma keluar dari lidahnya perkara yang menyakitkan jiran, lidahnya lancang!" Lalu Baginda bersabda: "Tiada kebaikan padanya dan dia di dalam neraka." Kemudian diceritakan kepadanya; "Si fulanah itu melaksanakan solat lima waktu (fardhu sahaja) dan puasa Ramadhan dan bersedekah hanya dengan beberapa ketul keju, tidak lebih daripada itu dan lisannya tidak menyakiti tetangganya." Baginda menjawab: "Dia di dalam syurga."

Itu komentar buat diri kita bersama. Bagaimana pula jika jiran yang buat perangai? Depan kita, pijak semut pun tak mati hinggakan semut pun pelik kenapa dia tak mati setelah dipijak. Belakang kita, amboi! Dialah speaker besar menjaja perihal buruk kita kepada orang lain. Aduh, parah juga dapat jiran macam ni. Kalau nak berborak dengan dia pun kena jaga-jaga. Silap cakap, fitnah menimpa diri.

Jalan penyelesaiannya, hak-hak jiran yang berperangai seperti ini tetap perlu kita penuhi. Dia susah, kita bantu. Dia sakit, kita ziarahi. Dia lapar, kita suapkan nasi. Walaupun hak dan kehormatan kita dicalarnya, tak sepatutnya kita membalas dengan mencalar hak dan kehormatannya kerana jika itu yang terjadi, kita dan dia adalah sama. Tiada bezanya. Sesungguhnya orang yang mulia ialah orang yang membalas kejahatan dengan kebaikan. Dalam kita berbuat baik terhadap mereka, selitkanlah nasihat, mana tahu hatinya yang sakit kan beransur sihat.

Konklusinya, jika firman Allah dan sunnah Nabi SAW jadi pedoman, akan amanlah hidup kita bertetangga, cubit peha kiri, peha kanan pun terasa sakitnya.=)


0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails