Total Pageviews

Saturday, January 1, 2011

~Lukisan Hati~

Assalamu'alaikum..kali ini saya ingin menyentuh tentang sesuatu yang unik dan artistik, itulah dia SENI. Seni ada banyak seni. Seni muzik, seni lakonan, seni pertahanan diri, seni gubah, seni ukir, seni bina, seni visual, seni lukis dan sebagainya. Apakan daya, saya tidak punya limpahan ilmu untuk membentangkan tentang seni yang beraneka warna ini cuma ingin menyentuh serba sedikit tentang impak seni terhadap mental dan emosi seseorang individu.

1- Seni mampu menarik seseorang individu untuk berfikir tajam lantas individu akan mengambil pengajaran dan iktibar dari apa yang diperolehinya dari seni. Ini dapat dibuktikan melalui seni lukis dan seni lakonan.

2- Seni juga mampu mewarnai minda dan emosi seseorang dengan warna-warni keriangan dan ketenangan. Lukisan bertemakan alam semula jadi misalnya, mampu menenangkan minda dan jiwa pengamatnya lantas menimbulkan rasa kagum yang akhirnya mendorongnya meluncurkan lafaz "Subhanallah!"

3- Seni juga mampu memotivasikan diri yang layu agar tumbuh segar setelah mendapat makanan rohani darinya.

4- Seni bertanggungjawab menjadi agen pengubah perspektif individu dan masyarakat dari yang buruk kepada yang baik.

5- Seni merupakan salah satu medium dakwah untuk mengislah minda dan rohani masyarakat.

6- Seni dapat mencerminkan peribadi seseorang samada bersifat teliti, halus atau sebaliknya. Sultan Muhammad al-Fateh misalnya, memilih seorang pelukis terkenal dari Itali, Gentile Bellini yang tidak beragama Islam untuk melukis potretnya untuk diabadikan oleh para pejuang dan pencinta Islam. Pemilihan ini dibuat berdasarkan sifat sangat teliti Sultan Muhammad al-Fateh dalam bidang seni. Dapatlah kita bayangkan di sini betapa telitinya pula beliau dalam soal pemilihan menteri-menteri serta bala tenteranya dalam perjuangan menegakkan Islam sedangkan dalam perkara kecil seperti lukisan potretnya pun tidak terlepas dari penelitiannya.



Konklusinya, banyak lagi impak seni terhadap individu yang tidak dapat saya senaraikan di sini. Apa yang pasti, Allah tidak ciptakan seni sebagai suatu yang sia-sia dan boleh dipandang remeh. Kerana fikiran yang kusut dapat dirapi dengan seni dan jiwa yang parah dapat dirawat dengan seni. Syukur ke hadrat-Nya atas kurniaan SENI, moga seni tidak disalah guna!







Pshh..walaupun lukisan saya yang tersurat ini tidaklah sehebat lukisan Gentile Bellini, namun saya berharap maknanya yang tersirat sampai kepada anda. =)

0 comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails