Atuk selalu memerhatikan aku menyapu ruang tamu rumah menggunakan penyapu lidi. Jika caraku memegang salah, atuk akan betulkan dan menunjukkan cara menyapu dengan betul. Atuk sangat sayangkan kucing. Kucing yang liar berjaya dijinakkan. Aku suka memerhatikan atuk bermain dengan kucing. Dikepit-kepitnya kepala kucing di bawah ketiaknya bergurau manja. Kemudian dibelainya hingga lena. Atuk juga seorang yang rajin. Rajin menyapu rumah, halaman rumah, menolong uwan, mengambil tugas memasak ketika uwan tidak sihat dan pelbagai lagi. Selain itu, atuk juga tegas. Pabila aku dan cucu-cucunya leka menonton televisyen di waktu senja, lalu berkumandang azan..atuk akan menyuruh kami menutup televisyen dengan segera. Kadang-kadang, atuk ajarkan aku tentang agama. Atuk tak malu menerangkan ilmu jika menyentuh perkara-perkara tertentu. Atuk selalu ingat apa kegemaranku. Tombong kelapa! Setiap kali atuk pecahkan kelapa, jika ada tombong di dalamnya, atuk akan memanggilku. "Kak, meh sini! Nak tombong tak?"
Uwan.
Uwan pula mengajarku cara memotong sayur dengan betul. Makanan uwan memang the best! Berapi...maklumla oghang nogoghi kampung. Uwan tak pernah menghampakan cucu-cucunya jika ada yang meminta pada uwan untuk buatkan kuih itu, kuih ini. Minta pagi, petang nanti mesti dapat. Semua kuih uwan tahu buat. Yang paling best kuih badak berendam. Nyam2..sedapnya! Uwan juga agak nakal. Uwan selalu mengajukku..uwan kata: "Nanti kalau kakak balik rumah jangan pula ngadu kat mak macam ni..'uwan tu mak, selalu suruh kakak buat macam-macam. Basuh pingganla, sapu sampahla..'" Geli hatiku melihat telatah uwan. Uwan contoh teladan isteri dan ibu yang baik. Uwan tak pernah ponteng buatkan kopi atuk setiap hari. Uwan juga mengingatkan anak-anak perempuannya yang lain supaya melayan suami dengan baik. Jaga makan minumnya. Jaga adab dengan suami. Tidak mustahillah menantu-menantu lelaki uwan suka duduk kampung walaupun isteri-isteri mereka tiada di sisi. Uwan melayan menantu-menantunya dengan baik sekali. Menganggap mereka umpama anak sendiri. Aku selalu perhatikan ketika makan beramai-ramai, uwan akan memastikan pinggan menantunya tidak kosong. Jika nasi dan lauk dalam pinggan menantunya hampir habis, uwan akan berkata, "Tambah lagi Bang Long." "Tambah lagi Bang Lang." "Tambah lagi Zul." "Tambah lagi Nasir." Semuanya menantu uwan. Uwan juga tak reti duduk diam dari melakukan kerja walaupun ketika dia tidak sihat. Ada saja kerja yang ingin dibuatnya.
0 comments:
Post a Comment