Total Pageviews

Saturday, December 25, 2010

MAHMUDAH vs MAZMUMAH

Assalamu'alaikum, para pembaca.

Bila cerita tentang sifat mahmudah, akan tergambar dalam fikiran kita sifat-sifat yang mulia. Contoh: Sabar, redha, bersangka baik, qana'ah(berpada-pada), jujur, tabah, ikhlas, amanah, pemurah, rajin, syukur, zuhud dan banyak lagi. Bila cerita tentang sifat mazmumah pula, tergambar sifat marah, buruk sangka, boros, pura-pura, bohong, khianat, kikir, malas, kufur, dan sebagainya.

Jika kita renung dalam-dalam, keamanan, ketenangan, kebahagiaan yang kita kecapi dalam hidup ini boleh dikatakan kebanyakannya berpunca dari sifat mahmudah. Mana tidaknya, dengan adanya sifat pemurah, perut si fakir teralas, pakaiannya bertukar, senyuman terukir di bibir. Dengan adanya sifat sabar dan redha pula, musibah sebesar gunung pun menjadi sekecil batu di dalam akuarium. Dengan adanya sifat jujur dan ikhlas, lambaian tangan disambut, hati berhawa dingin, perkara susah menjadi senang, yang serabut dapat diuraikan. Dengan sifat qana'ah, pondok usang pun menjadi istana.

Sebaliknya, kekacauan, kecelaruan, kemusnahan dan kezaliman yang menapak dalam hidup kebanyakannya berpunca dari sifat mazmumah pula. Buktinya, hidup yang celaru dan huru-hara berpunca dari buruk sangka kepada Tuhan atas ujian yang menimpa. Tali persaudaraan yang terputus dan bersepah di jalanan berpunca dari merahnya mata dan panasnya hati diselubungi sifat marah. Manusia pula menjadi syaitan kerana dendam kesumat yang belum terbalas. Fikiran waras menjadi gila  kerana tiadanya sabar dan redha dalam jiwa.

Begitulah besarnya impak sifat mahmudah dan mazmumah dalam kehidupan kita. Orang yang menghiasi dirinya dengan sifat-sifat mahmudah hatinya sebening subuh hari, wajahnya berseri-seri walau hidung tak mancung pipi tersorong-sorong, namun mata tetap sedap memandangnya. Hidup tenang tanpa gundah gulana. Berbeza pula jika sebaliknya. Jadi, pilihan di tangan kita. Mahmudah atau mazmumah? Contoh ikutan sudah jelas di bayangan minda. Dialah Nabi Muhammad SAW, insan teragung berakhlak mulia, tuturnya penuh hikmah, geraknya tersusun indah, dialah bulan purnama di kelamnya malam.

Tuesday, December 21, 2010

Warga Tua

     Ibu dan bapa..sanggup berkorban tenaga, masa, wang malah jiwa demi anak tersayang. Anak dibelai manja dari kecil hingga dewasa. Dijaga makan minum dan pakainya agar dia terbela selari dengan amanah Tuhan buat mereka. Semua permintaan anak ditunaikan sebolehnya walau terkadang sesak nafas dibuatnya. Segala kerenahnya dilayani dengan susah dan payah demi cahaya mata yang telah ditunggu-tunggu sekian lama.
     Kemudian, anak itu diberi pendidikan dari prasekolah hinggalah ke menara gading dengan tukaran sebesen keringat ibu dan bapa. Akhirnya, si anak berjaya dan punya kerjaya sendiri. Sejuk mata ibu dan bapa melihatnya.
     Suatu ketika, ibu dan bapa menghubungi si anak supaya pulang ke kampung kerana sudah lama tidak berjumpa. Rindu kata mereka. Akhirnya, setelah puas memujuk rayu, si anak menjawab ringkas, "Saya busyla sekarang, senang-senang nanti saya balik." Tut...............talian pun putus bersambung air mata terkilan ibu bapa.
     PERSOALANNYA: Adakah jerih payah ibu bapa membesarkan si anak selama ini hanya untuk mendengar perkataan 'busy' yang keluar dari mulut anaknya?
     Ingatlah! Redha Allah terletak pada redha ibu dan bapa. Kalau mahukan redha Allah dalam hidup, carilah redha ibu dan bapa terlebih dahulu. Insya-Allah, akan lancar perjalanan hidup selagi mana kita tidak menyimpang dari redha keduanya.

     "Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah engkau kembali." Surah Luqman: Ayat 14.

Related Posts with Thumbnails