Situasi 1:
Anak murid: Ustazah! Saya kagum dengan ustazah sebab ustazah tak pernah marah. Ustazah selalu sabar dan sentiasa tersenyum.
Hati ustazah: Ustazah ambil contoh daripada cikgu ustazah dahulu, Cikgu Naumi. Hakikatnya ustazah bukan seorang penyabar, nak.
Situasi 2:
Anak murid: Ustazah! Hari ni ustazah nampak cantiklah.
Ustazah: Hari ni je? Hari lain takla.
Anak murid: Ala, ustazah ni.
Hati ustazah: (Tersenyum lucu melihat telatah anak murid)
Situasi 3:
Cikgu Bahasa Melayu: Ustazah! Ada budak kena sampuk, ustazah tolong tengok-tengokkan boleh?
Hati ustazah: Ya Allah! Aku tak pernah belajar ilmu perubatan Islam..setakat baca mana yang tahu tu bolehlah..macam mana ni..tolong aku ya Allah!
Situasi 4:
Cikgu M: Ustazah, tolong nasihatkan akak. Akak dah cuba banyak kali kuatkan jiwa tapi tak boleh. Sekejap je boleh bertahan, lepas tu akak terkenangkan balik suami dan anak-anak akak yang meninggal accident hari tu.
Ustazah: Akak tak boleh macam ni. Akak kena kuat. Kalau akak lemah, anak-anak akak yang lain lagilah lemah. Kasihan mereka, kak. Mereka perlukan akak sebagai tempat bergantung sekarang dan sebagai penguat semangat mereka. Kalau mereka lihat akak kuat, mereka pun akan kuat. Saya yakin akak boleh. Semuanya ini ada hikmahnya. Kita perlu ingat kak, mungkin ada orang yang lebih hebat ujiannya lagi. Bersabar banyak-banyak kak.
Hati ustazah: Ya Allah, kuatkan dia. Aku hanya mampu menasihati sedangkan aku sendiri pun tidak tahu samada aku mampu tabah dan sabar jika ditakdirkan ujian sehebat itu menimpaku. Wal'iazubillah.
Situasi 5:
Ustazah: Ok, hari ni ustazah nak ajar melukis menggunakan lilin. Cuba lakar corak ni atas kertas lukisan menggunakan lilin yang ada pada kamu. Selepas tu, warnakan kertas lukisan tu dan lihat hasilnya.
Murid-murid darjah 1: Wah..ustazah buat magikla. Cantiknya.
Hati ustazah: Hei..macam-macam budak-budak ni..(tersenyum lucu)
Situasi 6:
Ustazah: Sudah! Sudah! Cukup-cukupla tu main lawan-lawan. Sini, ustazah nak tunjukkan sesuatu.
Murid-murid nakal darjah 4: Apa tu ustazah? Ni dekat mana ni ustazah? Ni kubur kan ustazah?
Ustazah: Ni kat Mesir..ni namanya maqam. Maqam ni gelaran bagi kubur orang yang soleh.
Murid-murid nakal darjah 4: Ooo..(Tertarik dan terus menyoal)
Hati ustazah: Dah tiada cara lain untuk tenangkan anak-anak murid..guna handphone jela untuk tarik perhatian mereka.
Situasi 7:
Anak murid: Ustazah! Saya nak bagi sesuatu.(Menghulurkan sampul putih)
Ustazah: Apa dalam sampul ni?
Anak murid: Dah nak raya ni, saya nak bagi ustazah duit raya.
Ustazah: Eh2..sepatutnya ustazah yang kena bagi, bukan kamu.
Anak murid: Takpelah, ustazah! Ustazah ambillah.
Ustazah: Macam nilah..S simpan duit ni, bila buka sekolah nanti boleh gunakan untuk beli barang-barang sekolah. Nanti S dapat tolong ringankan beban mak ayah kan.
Anak murid: Baiklah ustazah.
Hati ustazah: Aduh, anak murid2.
Situasi 8:
Hati ustazah: Dah nak habis tempoh mengajar ni, macam-macam jenis kad aku dapat dari anak-anak murid. Kalau mengajar di bandar, mesti diberi kad-kad dan hadiah-hadiah yang mahal. Tapi aku tak kisah, walaupun kad-kad ni hasil tangan mereka sendiri dan hadiah-hadiah yang aku dapat ni barang second hand(mak mereka yang punya) namun aku bersyukur kerana kad-kad buatan tangan dan hadiah-hadiah second hand ni melambangkan keikhlasan hati anak-anak muridku dalam menghargai aku. Sanggup mereka melukis dan menggunting kad untukku..sanggup mereka meminta izin dari emak sendiri untuk menghadiahkan kerongsang kepunyaannya kepadaku. Sungguh terharu..alhamdulillah!
Kesimpulan: Pengalaman mengajar di sebuah sekolah rendah di kawasan pedalaman banyak mengajarku erti tanggungjawab dan kasih sayang sesama insan. Hidup ini bukan hanya perlu diberikan perhatian dan tumpuan kepada masa depan diri sendiri sahaja tetapi juga orang lain. Rasa bersalah membelenggu diri jika mengabaikan hati, perasaan, ilmu, akhlak dan kehidupan orang lain yang memerlukan bimbingan dan huluran tangan.