Total Pageviews

Wednesday, April 20, 2011

Alhamdulillah..mak sudah sihat!

Assalamu'alaikum..
Setelah sekian lama menyepi tanpa meng'update' blog ini, hari ini saya punya kesempatan untuk berkongsi kisah suka duka hidup ini kepada semua(walaupun saya tak punya ramai follower.)
Alhamdulillah, syukur kepada-Nya atas nikmat pulang ke Malaysia pada 7 Februari 2011 yang diberikan-Nya dalam operasi ops piramid yang lalu. Sungguh tidak saya duga saya akan dapat menatap wajah emak, abah dan adik-beradik secara tiba-tiba. Syukur Alhamdulillah.

Sesampainya saya di rumah, Oren(kucing peliharaan keluarga) sudah menunggu di dalam rumah. Persis kucing Mesir. Rangkanya besar, badannya panjang. Kucing di Mesir pun kalah barangkali.

Dua tiga hari sesudah sampai, saya banyak ke hulu ke hilir untuk menyelesaikan urusan menterjemah lesen kereta dan mencari kerja. Malangnya, kedua-duanya tidak berjaya dibereskan memandangkan status saya yang tidak menentu. Mohon mengajar, tidak dapat. Nak terjemah lesen pula, maklumat di kertas terjemahan tidak lengkap. Apakan daya, kita hanya boleh merancang, Tuhan yang menentukan apa yang terbaik buat kita. Walau apapun, alhamdulillah di atas segala ketentuan-Nya. Mungkin Dia mahu saya memanfaatkan masa cuti yang sekejap itu bersama keluarga agar saya tahu betapa besarnya nikmat Allah yang satu ini. KELUARGA.

Tuesday, January 11, 2011

Origami

As-salamu qablal kalam..assalamu'alaikum..
Jika anda sedang melayari internet dan hanya merayau-rayau tidak tahu apa yang sedang anda layari, jom ikut saya layari web youtube dan search 'origami.' Bagi peminat hasil kerja seni, di sini pelbagai bentuk origami boleh dipelajari. Saya sendiri telah mencubanya. Anda bila pula?


Ini origami bakul, tapi belum siap sepenuhnya. Tunggu....


Siap sudah akhirnya..tapi nampak kosong. Nak isi apa ye?


Jeng3! 
Untuk mengelak dari nampak kosong, kita isikan dengan origami bunga!

Bagi sesiapa yang sedang tension duduk di rumah tak buat apa-apa, bolehlah cuba! Sekurang-kurangnya ia boleh dijadikan hiasan rumah. Kerja seni sebegini memerlukan kesabaran. Jangan bertambah tension sudahlah! SELAMAT MENCUBA! 

Pshh..Allah itu cantik dan Allah suka pada kecantikan.

Sunday, January 2, 2011

^ALANG^

Alang? Apa maksudnya? Alang-alang menyeluk pekasamkah? Bukan..jeng3!


Inilah alang yang saya maksudkan. Alang..seorang adik yang sangat baik dan membuatkan hati ini berbunga-bunga kerana memiliki seorang adik sepertinya. 2 Januari 1989, dengan rasminya saya menjadi seorang kakak. Moga tidak terlambat untuk mendedikasikan entri ini buat alang.

Mengimbau kembali kenangan bersama alang di waktu kecil dahulu, dia agak nakal. Kadang-kadang, saya menangis kerana kekasaran tingkah lakunya. Saya pun tak kurang hebatnya, cepat sahaja naik tangan ingin memukulnya. Jika dibandingkan dengan abang, saya kerap bergaduh dengan alang. Maklumlah, umur pun tak jauh bezanya. Cuma selang setahun. Lagipun, dia tak sematang abang. Tapi itu cerita lama.

Kini alang berbeza:

Saturday, January 1, 2011

~Lukisan Hati~

Assalamu'alaikum..kali ini saya ingin menyentuh tentang sesuatu yang unik dan artistik, itulah dia SENI. Seni ada banyak seni. Seni muzik, seni lakonan, seni pertahanan diri, seni gubah, seni ukir, seni bina, seni visual, seni lukis dan sebagainya. Apakan daya, saya tidak punya limpahan ilmu untuk membentangkan tentang seni yang beraneka warna ini cuma ingin menyentuh serba sedikit tentang impak seni terhadap mental dan emosi seseorang individu.

1- Seni mampu menarik seseorang individu untuk berfikir tajam lantas individu akan mengambil pengajaran dan iktibar dari apa yang diperolehinya dari seni. Ini dapat dibuktikan melalui seni lukis dan seni lakonan.

2- Seni juga mampu mewarnai minda dan emosi seseorang dengan warna-warni keriangan dan ketenangan. Lukisan bertemakan alam semula jadi misalnya, mampu menenangkan minda dan jiwa pengamatnya lantas menimbulkan rasa kagum yang akhirnya mendorongnya meluncurkan lafaz "Subhanallah!"

Saturday, December 25, 2010

MAHMUDAH vs MAZMUMAH

Assalamu'alaikum, para pembaca.

Bila cerita tentang sifat mahmudah, akan tergambar dalam fikiran kita sifat-sifat yang mulia. Contoh: Sabar, redha, bersangka baik, qana'ah(berpada-pada), jujur, tabah, ikhlas, amanah, pemurah, rajin, syukur, zuhud dan banyak lagi. Bila cerita tentang sifat mazmumah pula, tergambar sifat marah, buruk sangka, boros, pura-pura, bohong, khianat, kikir, malas, kufur, dan sebagainya.

Jika kita renung dalam-dalam, keamanan, ketenangan, kebahagiaan yang kita kecapi dalam hidup ini boleh dikatakan kebanyakannya berpunca dari sifat mahmudah. Mana tidaknya, dengan adanya sifat pemurah, perut si fakir teralas, pakaiannya bertukar, senyuman terukir di bibir. Dengan adanya sifat sabar dan redha pula, musibah sebesar gunung pun menjadi sekecil batu di dalam akuarium. Dengan adanya sifat jujur dan ikhlas, lambaian tangan disambut, hati berhawa dingin, perkara susah menjadi senang, yang serabut dapat diuraikan. Dengan sifat qana'ah, pondok usang pun menjadi istana.

Sebaliknya, kekacauan, kecelaruan, kemusnahan dan kezaliman yang menapak dalam hidup kebanyakannya berpunca dari sifat mazmumah pula. Buktinya, hidup yang celaru dan huru-hara berpunca dari buruk sangka kepada Tuhan atas ujian yang menimpa. Tali persaudaraan yang terputus dan bersepah di jalanan berpunca dari merahnya mata dan panasnya hati diselubungi sifat marah. Manusia pula menjadi syaitan kerana dendam kesumat yang belum terbalas. Fikiran waras menjadi gila  kerana tiadanya sabar dan redha dalam jiwa.

Begitulah besarnya impak sifat mahmudah dan mazmumah dalam kehidupan kita. Orang yang menghiasi dirinya dengan sifat-sifat mahmudah hatinya sebening subuh hari, wajahnya berseri-seri walau hidung tak mancung pipi tersorong-sorong, namun mata tetap sedap memandangnya. Hidup tenang tanpa gundah gulana. Berbeza pula jika sebaliknya. Jadi, pilihan di tangan kita. Mahmudah atau mazmumah? Contoh ikutan sudah jelas di bayangan minda. Dialah Nabi Muhammad SAW, insan teragung berakhlak mulia, tuturnya penuh hikmah, geraknya tersusun indah, dialah bulan purnama di kelamnya malam.

Tuesday, December 21, 2010

Warga Tua

     Ibu dan bapa..sanggup berkorban tenaga, masa, wang malah jiwa demi anak tersayang. Anak dibelai manja dari kecil hingga dewasa. Dijaga makan minum dan pakainya agar dia terbela selari dengan amanah Tuhan buat mereka. Semua permintaan anak ditunaikan sebolehnya walau terkadang sesak nafas dibuatnya. Segala kerenahnya dilayani dengan susah dan payah demi cahaya mata yang telah ditunggu-tunggu sekian lama.
     Kemudian, anak itu diberi pendidikan dari prasekolah hinggalah ke menara gading dengan tukaran sebesen keringat ibu dan bapa. Akhirnya, si anak berjaya dan punya kerjaya sendiri. Sejuk mata ibu dan bapa melihatnya.
     Suatu ketika, ibu dan bapa menghubungi si anak supaya pulang ke kampung kerana sudah lama tidak berjumpa. Rindu kata mereka. Akhirnya, setelah puas memujuk rayu, si anak menjawab ringkas, "Saya busyla sekarang, senang-senang nanti saya balik." Tut...............talian pun putus bersambung air mata terkilan ibu bapa.
     PERSOALANNYA: Adakah jerih payah ibu bapa membesarkan si anak selama ini hanya untuk mendengar perkataan 'busy' yang keluar dari mulut anaknya?
     Ingatlah! Redha Allah terletak pada redha ibu dan bapa. Kalau mahukan redha Allah dalam hidup, carilah redha ibu dan bapa terlebih dahulu. Insya-Allah, akan lancar perjalanan hidup selagi mana kita tidak menyimpang dari redha keduanya.

     "Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyusukannya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang ibu bapamu, hanya kepada-Kulah engkau kembali." Surah Luqman: Ayat 14.

Wednesday, November 24, 2010

Dalam kehidupan kita sehari-hari, pelbagai nikmat yang kita kecapi. Makanan, minuman, pakaian, kenderaan, rumah, handphone, laptop, mp3, mp4, ps2, buku-buku, ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara, sahabat handai, jiran tetangga, guru-guru, suami, isteri, anak-anak, penglihatan, pendengaran, pertuturan, hujan, panas, tumbuh-tumbuhan, haiwan, angin, udara, air, tanah, cahaya, kegelapan, ketenangan dan sebagainya, semua itu adalah nikmat yang dikurniakan Allah kepada kita, hamba-Nya. Apatah lagi nikmat yang terbesar yang dikurniakan-Nya kepada kita semua ialah nikmat iman dan Islam. Berdasarkan nikmat-Nya yang tidak terhitung banyaknya itu, apakah kita patut melupakan-Nya dalam kehidupan kita sehari-hari? Apakah kita patut menjadi hamba yang lupa dan tidak sedar diri? Apakah patut juga kita menjadi hamba yang kufur serta tidak mensyukuri nikmat-Nya?

Wahai jiwa yang selalu alpa, bersyukurlah selalu kepada-Nya. Dari selalu menjadi senantiasa. Senantiasa bersyukur kepada-Nya di waktu senang mahupun susah. Suruhlah mulut mengungkap kesyukuran itu dengan lafaz "Alhamdulillah!" Suruhlah anggota badan yang lain supaya menggunakan nikmat kurniaan-Nya pada tempatnya. Suruhlah ia supaya taat melakukan suruhan-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kaya, tidak sedikitpun Dia untung atau rugi disebabkan ketaatan atau kemaksiatan yang engkau lakukan. Suruhan atau larangan-Nya kepadamu demi kemaslahatanmu sendiri. Lantaran itu, jika dirimu rosak, puncanya adalah kamu. Jika dirimu berharga dan berguna pula, puncanya adalah kamu. Semua itu bergantung kepada sejauh mana ketaatanmu kepada-Nya. Maka, beruntunglah orang-orang yang benar imannya!
Related Posts with Thumbnails